Pembentangan Kuda Kepang











Power Point Kuda Kepang


KUDA KEPANG

PENGENALAN

TAJUK: SENI TRADISI KUDA KEPANG
KANDUNGAN BLOG:
  • PROFIL AHLI KUMPULAN
  • GAMBAR AHLI KUMPULAN
  • SEJARAH KUDA KEPANG
  • KOSTUM
  • ALAT MUZIK
  • CARA PERMAINAN
  • PANTANG LARANG
  • KAJIAN LAPANGAN
  • VIDEO

AHLI KUMPULAN


Eddie



Shaafri



Sue




Nana



Umairah






Lubna


Demo Bermain Alat Muzik Kuda Kepang

video

Video 1: En Madi menunjukkan rentak muzik Kuda kepang.

video

Video 2: Umairah demo bersama En Madi.

Rakaman Peristiwa

video

PROFAIL KUMPULAN

SITI UMAIRAH BTE ABDUL RASID
D20081032705

LUBNA BINTI MD. GHAUS
D20081032657

NURULLIYANA BINTI MUSTAPHA
D20081032760

NURSUHADAH BTE MOHAMAD RAMDZAN
D20081032686

EDDIE LARRY LAIMIN
D20072031678

SHAAFRI BIN SAKIN
D20081032416

KOSTUM PENARI KUDA KEPANG


Kostum merupakan salah satu unsur yang penting dalam persembahan kuda kepang. Menurut sejarah perkembangan kuda kepang di Malaysia khususnya di Johor, kesenian kuda kepang telah dibawa oleh penduduk yang berketurunan Jawa di Indonesia semasa berhijrah ke negara ini. Selain membawa kesenian kuda kepang, mereka juga membawa kebudayaan dalam bentuk pakaian Jawa. Pakaian tersebut digunakan sebagai kostum asas kepada persembahan kuda kepang.

Pakaian penari kuda kepang menggunakan pakaian tradisional Jawa kuno seperti lengkap memakai ketopang atau tanjak dan memakai kain samping. Manakala seluar bagi penari dijahit dengan menggunakan kain kempun iaitu batik jawa. Pada masa kini, tengkolok yang digunakan oleh penari kuda kepang menggunakan dua jenis tengkolok iaitu tanjak jawa mahupun tanjak Melayu. Kedua-dua tanjak ini dapat dibezakan melalui cara mengikatnya.


Gambar 1: Kostum Penari Kuda Kepang yang Lengkap



Gambar 2: Ketopang Jawa


Gambar 3: Penari Kuda kepang menggunakan Ikatan Tanjak Melayu

PANTANG LARANG KUDA KEPANG

Pantang larang merupakan suatu peraturan yang biasanya diguna paikai sejak zaman dahulu kala. Perkataan pantang ini membawa maksud tegahan atau larangan daripada melakukan sesuatu perkara dan sekiranya tegahan atau larangan ini tidak dipatuhi akan membawa akibat yang buruk. dalam masyarakat Melayu terdapat pelbagai pantang larang dalam upacara, aktiviti harian dan sebagainya seperti pantang larang dalam tarian kuda kepang. Tarian kuda kpang mempunyai pantang larangnya yang tersendiri yang perlu dipatuhi supaya tiada bala yang akan berlaku.

Pantang larang di dalam tarian kuda kepang dapat dilihat dari pada pelbagai aspek seperti pantang larang sebelum memulakan tarian, pantang larang kepada penari, pantang larang pemain alat muzik, pantang larang terhadap kuda kepang dan pantang larang kepada penonton. Pantang larang pantang larang yang diwujudkan ini bertujuan untuk memastikan nilai keunikan yang terdapat dalam tarian kuda kepang dapat dikekalkan.

Terdapat pantang larang sbelum memulakan tarian kuda kepang ini. Hal ini demikian kerananterdapat kepercayaan yang menyatakan, kuda kepang dipengaruhi oleh roh atau sejenis kuasa ghaib yang memerlukan upacara khas sebelum bermain bagi mengelakkan sesuatu yang tidak diingini meninpa para pemain mahupun para penontonnya. Upacara ini dimulakan dengan pemujaan roh oleh bomoh dengan menyediakan sajian untuk penunggu seperti kelapa, beras, kemeyan, kain putih, jarum, benang, bunga rampai dan telur dan bomoh akan menjampi untuk memulakan istiadat pembukaan gelanggang.

Pemain kuda kepang sama seperti cara perubatan tradisional yang perlu memberi pengeras, namun pengeras pemain kuda kepang diberikan kepada tok bomoh untuk pesembahan. Pengeras yang dimaksudkan ini terdiri daripada beberapa butir kemeyan, tempat bara membakar kemeyan, nasi campur dengan lauk ayam dan sayur,air metah secerek, beberapa jenis kuih dan yang paling penting sekali ialah wang sebanyak RM2.25 yang diserahkan oleh tuan rumah atau penganjur untuk Tok Bomoh persembahan. Bayaran bagi setiap persembahan yang diadakan adalah tidak kurang daripada RM200.

Pemain kuda kepang tidak boleh melihat kain berwarna merah merupakan salah satu pantang kepada pemain. Pantang larang pemain tidak boleh melihat kain merah merupakan pantang larang semulajadi yang utama. Pemain kuda kepang turut tidak dibenarkan terlihat mahupun melihat kaca atau pun sepihan kaca. Hal ini demikian kerana pemain kuda kepang yang telah ‘naik syeh’ mereka mampu melakukan perbuatan atau gerakkan yang luar biasa dan sekiranya mereka terlihat kacau atau sepihan kaca ditakuti mereka akan memakan kaca atau sepihan kaca tersebut.

Selain itu, patang larang tarian kuda kepang ialah pemain kuda kepang tidak boleh diacah semasa dalam permainan tidak kiralah mereka telah ‘naik syeh’ ataupun tidak. Hal ini demikian kerana, perbuatan mengacah pemain kuda kepang semasa bermain kuda kepang dihuatiri akan melarat dan menjadikan keadaan tidak terkawal.

Dalam permainan kuda kepang terdapat juga pantang larang yang melibatkan pemain alat muzik kuda. Para pemain alat muzik perlu memainkan muzik mengikut keadaan pemain kuda kepang kerana dikhuatiri pemain kuda kepang akan berang terhadap pemin muzik. Sebagai contoh, sekiranya keadaan pemain sudah ‘naik syeh’ pemain-pemain alat muzik perlu merancakkan alunan muzik yang dimainkan kerana jika pemain alat muzik gagal untuk mengikuit rentak pemain kuda kepang kononnya pemain kuda kepang akan naik berang dan akan menendang atau menerkan pemain muzik.

Muzik memainkan peranan yang penting dalam tarian kuda kepang. Hal ini demikian kerana menurut keterangan pemain yang mengalami keadaan ‘naik syeh’, ketika mereka mengalami keadaan ini mereka bermimpi menunggang kuda sambil menari-nari dengan iringan muzik. Semakin lama alunan muzik yang diamainkan kedengaran sayu dan disebabkan initulah pemain kuda kepang cuba mengejar muzik tersebut. Pekara ini menunjukkan bahawa mempunyai semangat yang menjadi asas kepercayaan dan peminat mereka.

Kuda kepang yang digunakan semasa tarian kuda kepang juga mempunyai pantang larangnya yang tersendiri. Kuda kepang yang digunakan semasa menari perlu disimpan atau diletakkan di suatu tempat yang khusus. Hal ini demikian kerana jika kuda ini diletak sebarangan dan tidak menjaganya dengan baik akan menyebabkan roh kuda kepang itu mengamuk dengan merosakkan pertunjukkan-pertunjukkan yang akan datang.

Pantang larang tarian kuda kepang bukan sahaja melibatkan pemain kuda, kuda kepang dan pemain alat muzik tetapi melibatkan penonton juga. Penonton dilarang untuk mencaci penari kuda kepang kerana ditakuti akan menerima musibah.


Gelanggang Kuda Kepang


Kuda kepang tidak mempunyai gelanaggang yang khusus untuk melakukan persembahan. Hal ini demikian kerana tarian ini boleh dipersembahkan dimana sahaja yang mempunyai kawasan tanah yang luas. Kebiasaannya gelanggang kuda kepang adalah berukuran 40m X60m.

http://ms.wikipedia.org/wiki/Tarian_Kuda_Kepang
http://www.umt.edu.my/v8/v8_dokumen/akhbar_samudera/julai_09.pdf
http://www.oocities.com/tengku_mahkota_muar/pantang_larang_ketika_permainan.htm
http://sejarahmuar.blogdrive.com/archive/8.html

CARA, FUNGSI DAN BILANGAN PENARI

Kuda kepang dipersembahkan dan dimainkan di tempat terbuka seperti di atas pentas yang besar. Sebelum tarian bermula, tok bomoh akan membakar kemenyan dan membaca jampi untuk memberikan tenaga kepada kuda-kuda. Beliau mengunakan telur mentah, bunga, rumput, dan air untuk persembahan. Dikawali oleh seorang "danyang" yang melecutkan pecut untuk menentukan rentak tarian, setiap penari akan naik ke atas kuda masing-masing.

Apabila muzik mula bergema, penari-penari yang dipimpin oleh "danyang" itu masuk ke gelanggang. Rentak muzik bermula dengan perlahan dan agak membosankan. Setiap penari akan menunggang dan memacu kuda menurut pola yang ditentukan oleh rentak dan irama lagu itu. Ketika muzik semakin pantas,kuda-kuda akan menderap dengan lebih laju. Kekadang pihak penganjur akan merentang kain licik untuk pemain menitinya. Penari-penari boleh melakukan pergerakan yang aneh dan luar biasa seperti bersilat melompat-lompat setinggi enam kaki dan sebagainya. Semasa penari dalam keadaan sedemikian, bunyi-bunyian yang mengiringi tarian ini akan bertambah rancak.Kononnya jika alunan muzik tidak rancak, penari-penari akan menerkam atau menendang pemain muzik seakan-akan kuda yang sedang berang.

Penari-penari menari selama dua jam sehingga mengalami keadaan bersawai, terpukau dengan kehebatan pergerakan-pergerakan mereka. Ketika mabuk, mereka kekadang akan bermimpi menunggang kuda yang benar-benar sambil menari -nari dengan iringan muzik. Disebabkan itu, mereka mencuba mengejar muzik itu. Keadaan itu dipanggil "naik syeh". Jika keadaan liar dan bertambah tidak dapat dikawali, tok bomoh akan mengarahkan pengawal-pengawal yang ditempatkan disetiap sudut gelanggang untuk menangkap dan merebahkan mereka ke tanah dan tok bomoh akan membaca jampi untuk memulihakn mereka.


Bilangan Pemain Kuda Kepang

Pemain kuda kepang memerlukan sekurang-kurangnya 25 orang iaitu 9 orang penari, 5 orang pemain muzik, 2 orang bertindak sebagai 'bomoh pemulih', 9 -15 orang penjaga kawasan. Bagaimanapun dalam satu persatuan, jumlah ahlinya adalah sebanyak 40 orang. Seorang daripada penari-penari bertindak sebagai pemimpin yang dipangil 'danyang'. Bilangan kuda kepang yang digunakan ialah sekurang-kurangnya 9.


Fungsi Kuda Kepang

Pada mulanya, ini hanya permainan biasa seperti "sepak raga". Namun sambutan daripada penduduk tempatan menyebabkan ia berkembang dari sebuah kampung ke kampung lain. Pada zaman sekarang, tarian ini biasanya dipertunjukkan dimajlis-majlis keramaian untuk memeriahkan lagi suasana seperti sewaktu menyambut orang kenamaan, meraikan majlis perkawinan, dan pada hari-hari perayaan.


Sumber rujukan:

http://ms.wikipedia.org/wiki/Kuda_kepang

http://mforum2.cari.com.my/archiver/?tid-245973.html





ALAT MUZIK KUDA KEPANG

Muzik merupakan salah satu aspek yang penting dalam persembahan Kuda Kepang. Rentak Muzik yang amat unik membuatkan penari Kuda Kepang terlalu asyik sehingga membawa mereka ke suatu alam lain. Terdapat beberapa jenis alat muzik yang digunakan dalam persembahan kuda kepang seperti Angklung, Caklempong, Kenong, Gong, Gendang Jawa dan Jidur.

ANGKLUNG


Angklung merupakan sejenis alat muzik yang diperbuat daripada buluh dalam katogori idiofon. Sebuah angklung lazimnya terdiri daripada dua atau empat tabung yang diikat pada rumahnya atau dikenali sebagai 'ancak'. Angklung untuk melodi dilaras dalam jarak diantara satu sama lain. Manakala Angklung pengiring iaitu accompaniment, ianya dilaraskan mengikut kaedah tonic triad iaitu Do, Mi dan So sama ada dalam mode Major ataupun Minor. Proses penalaan Angklung dilakukan dengan cara ketukan di bahagian kakinya ataupun meniup di bahagian bibirnya.

Permainan muzik Angklung sering dipersembahkan secara berkumpulan untuk majlis keraian dan mengiringi tarian kuda kepang serta Barongan. Dalam persembahan Kuda kepang, lazimnya tiga atau empat buah angklung digunakan untuk memainkan mode rithme sebagai pelengkap kepada ensembel yang lain. Tradisi kesenian muzik angklung yang berkembang di Malaysia dipercayai berasal dari Tanah Jawa, Indonesia. Manakala tradisi angklung di Jawa merupakan tradisi daripada alat 'bongkel' yang mula wujud di Banyumas, Indonesia sejak dahulu kala.

Gambar 1: Angklung

BONANG (CAKLEMPONG)


Bonang merupakan sejenis alat muzik bergema (idiophon)yang digunakan dalam persembahan gamelan. Alat ini juga dikenali sebagai keromong iaitu gong-gong kecil yang diletakkan secara mendatar diatas tali dan kotak kayu. Bentuk bonang sama seperti caklempong iaitu berbentuk mangkuk atau kendi kecil yang bercembul. Terdapat sepuluh atau dua belas biji bonang yang diatur dalam dua baris dan diletakkan disetiap kotak kayu masing-masing. Satu baris bonang tersebut mempunyai tangga nada yang tinggi, sementara satu baris bagi tangga nada yang rendah.

Mangkuk bonang diperbuat daripada besi dan perunggu, iaitu campuran tembaga dan timah putih. Bahan ini dilebur dan ditempa mengikut campuran sepuluh bahagian tembaga tulen serta tiga bahagian timah tulen. Besi dan timah dileburkan di dalam bekas berbentuk mengkuk yang diperbuat daripada campuran tanah liat dan sekam padi. Lakaran atau kepingan gangsa yang dihasilkan diketuk menjadi bonang. Alat bonang juga boleh dibentuk daripada kepingan besi dengan cara ketukan sahaja tanpa dilebur.

Bonang dimainkan dengan menggunakan dua pemukul kayu yang dibalut dengan kain merah pada hujungnya. Balutan kaian akan dijadikan pemukul lembut dan tidak merosakkan cembul bonang apabila dipukul. Kedua-dua pemukul ini digunakan oleh seorang pemuzik untuk menghasilkan irama bonang, sama ada dua nada yang serentak atau dua nada bertingkah.

Gambar 2: Bonang

KENONG

Kenong adalah sejenis alat idiophon yang berasal dari Jawa, Indonesia. Kenong mempunyai satu set alat yang menyerupai gong tetapi lebih nipis dan bulat berbanding gong. Kenong diletek diatas dan diikat pada kayu yang diperbuat daripada kayu keras untuk menghasilkan nada merdu setelah diketuk. alat pengetuk kenong terdiri daripada kayu dan tali yang dililit pada bahagian atas kayu tersebut. Kenong dimainkan dengan cara mengetuk sekali setiap not lagu. Peranannya adalah untuk mengeluarkan bunyi yang lebih lembut daripada bunyi dihasilkan oleh gong.Dalam ensembel gamelan Melayu, kenong disertakan dalam satu oktaf yang berlaras pentatonik iaitu skala lima nada tanpa semiton pada jedanya, mempunyai pic yang tetap iaitu fixed-pitch dan diasaskan kepada Western Tempered Pitch. Manakala tradisi gamelan di Johor mengamalkan dua sistem skala iaitu slendro, bermaksud lima nada dan skala pelog yang mempunyai tujuh nada. sistem skala berkenaan adalah diasaskan kepada non-Tempered Pitch dan mempunyai tangga suara yang lebih kecil.

Gambar 3: Kenong Kuda Kepang

GENDANG JAWA


Gendang jawa merupakan sejenis alat muzik yang mempunyai bingkai kayu dan tertutup dengan belululang pada kedua permukaan. Gendang merupakan alat membraphon yang dimainkan secara tabuh. Alat ini digunakan untuk persembahan kuda kepang. Gendang Jawa berbentuk bujur dan panjangnya berukuran tiga kaki dengan saiz kedua-dua permukaan yang berbeza. Kedua-dua permukaan ditutup dengan kulit lembu atau kulit kambing. Gendang Jawa biasanya dimainkan secara duduk, dengan gedombak diletakkan di atas sila. Ia dimainkan dengan memalu secara langsung menggunakan tangan. Gendang adalah alat penting di dalam memimpin rentak bunyian baik rendah ataupun tinggi. Ia dianggap alat yang paling sukar dimainkan, dan memerlukan kemahiran yang tinggi di dalam permainan lantaran tidak mudah untuk diberi notasi.

Gambar 4: Gendang Jawa

GONG


Gong adalah sejenis alat muzik 'idiophone' yang berasal dari Asia Timur Selatan. Dibuat daripada perunggu berbentuk bulat, tepinya melengkong ke bawah, berongga di dalam dan cembul di tengah-tengah bahagian permukaannya. Gong berperanan penting sebagai bunyi tulang belakang dalam ensemble persembahan muzik gamelan. Alat ini terdiri daripada pelbagai saiz untuk menghasilkan bunyi yang berbeza setiap satunya dan dimainkan bersama-sama mengikut rentak lagu. Kebiasannya, 1 atau 2 drum turut dimainkan serentak untuk mempelbagaikan irama muzik yang lebih unik. Gong telah banyak dijumpai di seluruh Malaysia dijadikan sebagai alat utama dalam upacara khas dan persembahan muzik tradisional. Alat ini terjamin berkualiti tinggi kerana cara pembuatannya adalah sukar dan memerlukan kos yang agak tinggi. Gong tempatan mempunyai 'shallow rims' dan 'small boss'. Melodi yang dihasilkan adalah untuk memberi isyarat pada permulaan dan penghabisan sesuatu lagu.

Gambar 5: Gong

SARON PEKIN


Alat ini pula merupakan alat penambahan baru bagi ensemble Gamelan Melayu. Teknik perdam juga diamalkan dalam konteks pemakaiannya dan ianya mempunyai oktaf tertinggi dalam keluarga saron serta mampu menghasilkan suara lantang dan nyaring. Dari segi fizikalnya, saron pekin mempunyai bilah yang berukuran lebih kecil tetapi lebih menebal jika dibandingkan dengan bilah yang ada pada saron penerus. Alat pemukul bagi saron pekin juga berbentuk penukul yang diperbuat daripada tanduk kerbau.

Gambar 6: Saron Pekin

JIDUR


Jidur diperbuat dari batang kelapa berongga dan kedua-dua permukaan berukuran lilit yang sama diditutup dengan kulit lembu atau kulit kambing. Jidur berbentuk tong kecil setinggi anggaran 16 inci. Jidur digunakan untuk persembahan kuda kepang dan dipalu menggunakan dua batang kayu untuk memainkannya.


Gambar 7: Jidur

Score Muzik Kuda Kepang

SEJARAH WARISAN KUDA KEPANG


~Sejarah Warisan Kuda Kepang~


Kuda kepang merupakan satu seni tradisional yang semakin ditelan zaman. Kuda kepang dikenali dengan pelbagai nama seperti jaran kepang, kuda lumping, jathilan dan ebeg. Menurut orang Jawa memberikan makna bagi 'jaran' ialah kuda manakala 'kepang' merujuk kepada anyaman. Bagi masyarakat jawa panggilan bagi kuda kepang yang popular ialah jaran kepang kerana pertunjukan yang dipersembahkan ialah menggunakan anyaman kuda.


Pembuatan kuda kepang adalah dengan menggunakan buluh yang dianyam. Pada awalnya kuda kepang menggunakan pandan yang dianyam tetapi kini ada yang diperbuat daripada papan lapis atau kulit lembu. Ianya biasa berwarna kitam dengan bulu berwarna kuning. Namun pengubahsuaian telah berlaku apabila terdapat juga kuda yang dibalut dengan baldu bagi menampakkan kuda semakin menarik. Kebiasaanya hiasan seperti ini adalah bagi tujuan persembahan diperingkat tinggi.


Mengikut seperti yang dikatakan oleh Soedarsono (1983), kuda kepang mula berkembang sebelum berlakunya perkembangan Islam iaitu pada abad ke XV. Persembahan kuda kepang ini dimainkan dalam upacara pemujaan. Dipercayai, kuda kepang dimainkan adalah bertujuan orang yang masih hidup untuk menjalinkan hubungan dengan roh orang telah mati. Selain itu, mereka percaya kuda kepang dimainkan bertujuan untuk membersihkan desa daripada gangguan roh-roh jahat, penyakit dan malapetaka.


Kuda kepang adalah merupakan sejenis tarian pahlawan berkuda yang berasal daripada Jawa. Telah berlakunya penyebaran kesenian ini meluas serata wilayah di Nusantara. Penyebarannya diteruskan lagi setelah dibawa masuk oleh masyarakat Jawa yang berhijrah ke negara ini dan kekal sehingga sekarang dan masih banyak mengekalkan ciri-ciri keaslian tradisinya. Permainan ini sangat popular khususnya di negeri Johor. Tidak banyak pengubahsuian yang dilakukan walaupun setelah berkurun lama seni kuda kepang ini wujud. Hal ini disebabkan masyarakat Jawa yang begitu kuat mengekalkan seni tradisi mereka dan ini dibuktikan dengan pengekalan seni budaya dan juga tutur bahasa yang digunakan sehari-hari.


Masyarakat Jawa masih tidak lepas daripada kepercayaan unsur ghaib sehinggakan banyak upacara tertentu dilakukan dan salah satu daripadanya ialah persembahan kuda kepang. Dalam kehidupan msyarakat Jawa mereka telah melakukan percampuran antara nilai agama dan juga masih mebgekalkan kepercayaan nenek moyang yang kuat.


Daripada beberapa kajian yang telah dibuat, ada pendapat mengatakan tarian kuda kepang ini telah dicipta oleh Wali Sembilan sebagai tarikan dalam usaha mereka menyebarkan syiar Islam di Tanah Jawa. Peristiwa peperangan yang dilalui Rasullullah saw dan para sahabat disampaikan dalam bentuk tarian.

Gambar 1 : Ketua Kuda Kepang kebiasaan berwarna hitam



Sumber rujukan:



HASIL KAJIAN LAPANGAN KUDA KEPANG

SENI MUZIK KUDA KEPANG
KG SEPARAP, BATU PAHAT
14 OGOS 2010.
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Kami merupakan pelajar bagi kursus pengayaan diri, Malaysian Music Traditional. Kami telah memilih tajuk tugasan Kuda Kepang sebagai tajuk untuk dikaji di dalam kursus ini. Oleh hal yang demikian, pada 14 Ogos 2010, kami seramai 4 orang pelajar telah pergi ke Batu Pahat untuk menemubual seorang penggiat seni Kuda Kepang. Pada hari Sabtu, jam 2 petang, kami pergi ke Kampung Separap untuk menemubual En. Madi.

En Madi merupakan seorang penggiat seni Kuda Kepang yang aktif sebelum pengeluaran fatwa pengharaman Kuda Kepang di Johor. Beliau merupakan generasi ketiga dalam salasilah keturunannya yang mewarisi seni Kuda Kepang. Perwarisan ini bermula daripada datuknya Mat Yatim, bapanya Pak Yusuf dan seterusnya En Madi sendiri. Sejak dari kecil lagi, beliau telah terdedah dengan persekitaran seni Kuda Kepang. Namun hanya pada ketika beliau berada di tingkatan 1, bapanya mula membawa En Madi bersama-sama dalam persembahan Kuda Kepang yang diadakan. Menurut En Madi, beliau mungkin merupakan waris terakhir dalam keluarganya yang berkecimpung dan meneruskan seni Tradisi ini. Hal ini kerana yang pertama, anaknya sendiri dilihat kurang berminat untuk meneruskan perwarisan seni ini, tambahan lagi, seni Kuda Kepang telah diharamkan kegiatannya.

Hasil temuramah kami kepada En Madi, beberapa maklumat telah dikenalpasti hasil daripada persoalan-persoalan yang diutarakan. Antara persoalan itu seperti:-

Sejarah Kuda Kepang, bilangan pemain, bila dimainkan, alat muzik yang digunakan, cara persembahan Kuda Kepang, perbezaan Kuda Kepang dahulu dengan sekarang, pengalaman En Madi, serta pandangan terhadap pengharaman kuda kepang.

Dikatakan bahawa Seni Kuda Kepang merupakan kesenian Jawa. Ia berasal dari kawasan Jawa Tengah. Oleh hal yang demikian Kuda Kepang di Malaysia dipengaruhi oleh seni Jawa. Namun kuda kepang yang dimainkan di Malaysia tidak sepenuhnya mengikuti kuda kepang Jawa. Menurut En Madi, kuda kepang yang dimainkannya hanya mengambil beberapa ciri yang dirasakan sesuai dengan budaya Malaysia dan peralatan yang digunakan tidak sebanyak permainan kuda kepang yang sebenar di Jawa. Kumpulan kuda kepang En Madi kebiasaannya dimainkan semasa menyambut kemerdekaan, acara kenduri kahwin pada waktu malam, dan juga semasa majlis-majlis seperti menyambut menteri serta apabila mendapat jemputan persembahan dari pihak luar.

Latihan bagi kumpulan Kuda Kepang En Madi diadakan sekali pada setiap minggu dengan kehadiran anak buahnya, Ia diadakan di kawasan padang bersebelahan dengan rumahnya. Setelah pengharaman Kuda Kepang, tiada lagi latihan dijalankan dan dapat dilihat kawasan latihan itu terbiar dan bersemak. Tambahan lagi, pengharaman ini juga menurut En Madi memberi kesan kepada golongan muda kampung yang bergiat aktif dalam Kuda Kepang. Kesan pengharaman ini memperlihatkan anak muda ini hilang arah tuju dan mula melepak kerana tiada lagi aktiviti bermoral untuk dilakukan pada masa lapang.

Menurut penerangan En Madi, di dalam permainan kuda kepang terdapat 9 kuda kepang yang terlibat. Setiap kuda ini mempunyai watak dan peranan tersendiri berdasarkan warna pada badan kuda kepang itu. Contohnya Kuda Kepang yang berwarna hitam merupakan ketua kepada Kuda Kepang yang lain dan akan bertindak memberi arahan menggunakan tali pecut. Struktur badan kuda ini diperbuat daripada kulit lembu. Tetapi jika dilihat dari sejarah, kuda kepang di perbuat dari buluh, tetapi disebabkan strukturnya yang mudah rosak, En Madi telah membuat kuda kepangnya dari kulit lembu. Manakala tali pecut pula diperbuat daripada tali biasa. Tali pecut ini mampu untuk menghasilkan bunyi yang sangat kuat seperti bunyi mercun. Kekuatan bunyi ini adalah bergantung kepada kaedah tali pecut itu dipukul. Tali pecut ini adalah sangat penting dalam permainan Kuda Kepang kerana ia bertindak untuk mengarahkan pergerakan kuda kepang yang lain semasa persembahan.

Instrumen atau alat muzik yang digunakan oleh kumpulan Kuda Kepang En Madi adalah seperti gendang jawa, gong, kenong Kuda Kepang, angklung dan saron. Menurut En Madi tidak ada pantang larang dalam penggunaan alatan muzik ini samada tidak boleh dilangkah dan sebagainya. Semasa proses temubual ini, kami sempat melihat dan merakam En Madi bermain alat muzik seperti gendang jawa. Sebagai ketua, setiap alatan muzik ini boleh dimainkannya dengan baik. Selain itu, pemain alat muzik ini bermain mengikut rentak permainan Kuda Kepang. Jika pemain bergerak laju, maka muzik iringan itu juga akan laju dan begitulah sebaliknya.

Apabila diutarakan persoalan wujudkah upacara ritual di dalam Kuda Kepang, jawapan En Madi adalah tidak. Beliau menafikan wujudnya bacaan-bacaan mantera semasa permainan, samada semasa buka gelanggang, semasa persembahan atau penutup permainan. Beliau menyatakan hanya mengamalkan ayat-ayat suci Al-Quran sahaja di dalam permainan Kuda Kepangnya. Menggunakan analogi, apabila kita hendak membuat sesuatu majlis pasti ada bacaan doa selamat, dan begitu jugalah di dalam Kuda Kepangnya. Penafian ini adalah berbeza dengan pandangan atau pendapat umum yang sebenarnya Kuda Kepang adalah antara seni tradisi masyarakat Malaysia yang melibatkan unsur-unsur anamisme di dalamya seperti pemujaan roh dan sebagainya. Jika tidak, di mana logiknya pengeluaran fatwa pengharaman Kuda Kepang itu. Lihat sahaja setiap persembahan Kuda Kepang, pasti akan ada pemainnya yang naik "syeh" dan melakukan aksi-aksi yang di luar kawalan sehinggakan memerlukan bomoh untuk mengubat dan mengembalikannya ke alam realiti. Di dalam persoalan ini, En Madi menyatakan pemain naik syeh kerana mereka terlalu asyik yakni terlalu menghayati muzik gamelan yang mengiringi Kuda Kepang. Di dalam Kuda Kepang En Madi tidak menggunakan sebarang unsur khurafat seperti penggunaan kemenyan dan bacaan mantera. Menurutnya, Kuda Kepang yang dipeloporinya hanya atas dasar kesenian dan tiada kena mengena dengan keagamaan. Menurutnya lagi setiap kumpulan Kuda Kepang di Malaysia menggerakkan permainan Kuda Kepang mereka dengan cara yang berbeza. Jadi boleh dilihat ada permainan Kuda Kepang yang menonjolkan ciri-ciri ritual itu yang berunsur khurafat. En Madi juga menyatakan tidak wujud sebarang pantang larang di dalam permainan kuda kepangnya. Hanya, beliau menyatakan kemusykilan apabila setiap rakaman atau tangkapan gambar yang diambil ketika persembahan Kuda Kepangnya kebiasaannya tidak menjadi. Gambar yang terhasil mungkin memperlihatkan samada tiada kepala, tiada kaki dan kadangkala tiada gambar dan hanya berwarna putih. Hal ini berlaku sejak lama dahulu. Jadi sebelum proses rakaman temubual kami, En Madi telah membawa kamera ahli kumpulan kami ke dalam rumah untuk "dilakukan" sesuatu ke atasnya bertujuan supaya hasil rakaman itu menjadi. Apa yang dilakukannya tidaklah diketahui oleh kami, namun apabila rakan kami mendapatkan semula kameranya, kamera itu seperti telah diletakkan minyak kerana ia berbau minyak atar.

Semasa proses temubual berlangsung, En Madi telah menunjukkan kepada kami sebuah topeng yang telah berusia lebih seratus tahun. Ia merupakan tinggalan warisan salasilah keturunan En Madi. Topeng tersebut diperbuat daripada kayu dan boleh dilihat sesetengah bahagian topeng itu yang telah mereput. Fungsi topeng ini iaitu, pemain akan muncul dengan topeng ini di penghujung persembahan Kuda Kepang sebagai selingan persembahan. Kami juga bertanya apakah perbezaan antara Kuda kepang dengan Barongan. En Madi membezakan ia dengan bilangan Kuda Kepang yang digunakan. Barongan hanya menggunakan 2 Kuda kepang sahaja.

Ditanya berkenaan pengalaman pahit manis sepanjang berkecimpung di dalam seni Kuda Kepang ini, En Madi hanya tersenyum memperlihatkan terlalu banyak hal yang dilalui. Katanya ada yang manis, ada yang pahit, dan semuanya adalah sangat berharga. Sebagai ketua dalam kumpulan Kuda Kepang di kampungnya, beliau bertanggungjawab pada pergerakan aktiviti Kuda Kepangnya. Contohnya semasa latihan atau persembahan diadakan, pastinya ada pemain yang akan naik seh. Di sini dilihat peranan En Madi dalam menyembuhkan anak buahnya dengan bacaan ayat suci Al-Quran.

Mengenai pandangan En Madi terhadap pengharaman kuda kepang, pastinya beliau berasa sangat kecewa. En Madi telah berusaha berjumpa dengan wakil-wakil rakyat serta pihak-pihak tertentu seperti Y.B Dato Noraini berhubung pengharaman ini, namun tiada respon atau tindak balas positif. Menurutnya lagi, apabila fatwa telah dikeluarkan, tidak ada sebarang kompromi ke atasnya kerana ia melibatkan akidah. Pengharaman ini disebabkan oleh seni Kuda Kepang dilihat dan telah diteliti sebagai sesuatu yang berunsurkan pemujaan dan sihir serta boleh memesongkan akidah umat Islam yang terlibat dengannya. Bagi En Madi, ia merupakan satu kerugian ke atas penggiat seni sepertinya yang tidak langsung melibatkan unsur-unsur khurafat di dalam permainan Kuda kepangnya. En Madi sangat mengharapkan Seni Kuda Kepang diberi peluang sebagai satu bentuk kesenian dan diletakkan garis panduan atau prasyarat apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan di dalam Kuda kepang agar tidak wujud unsur-unsur pemesongan akidah di dalamnya. Begitu besar harapan En Madi dalam memartabatkan warisan seni tradisi masyarakat.

Secara lisannya, terlalu banyak yang dikongsikan oleh En Madi dengan kami berkenaan Kuda Kepang. Kerjasama dan pemberian pengetahuan baru yang diberikan oleh En Madi sangat kami hargai dan ucapan terima kasih didahulukan. Sebagai seseorang yang baru dalam ruang lingkup Muzik Tradisional, kami melihat En Madi sebagai seorang yang sangat komited dalam menggiatkan serta menghidupkan seni Kuda Kepang.

Akhir sekali, coretan ini adalah antara yang kami ingin kongsikan hasil dapatan daripada kajian lapangan yang dilakukan. Diharapkan perkongsian maklumat dan pengalaman ini memberi manfaat kepada kita semua. Muzik itu akan menjadi universal apabila kita mempunyai pengetahuan tentangnya. Hargailah warisan seni bangsa kita kerana ia identiti kita.

Wassalam.