ALAT MUZIK KUDA KEPANG

Muzik merupakan salah satu aspek yang penting dalam persembahan Kuda Kepang. Rentak Muzik yang amat unik membuatkan penari Kuda Kepang terlalu asyik sehingga membawa mereka ke suatu alam lain. Terdapat beberapa jenis alat muzik yang digunakan dalam persembahan kuda kepang seperti Angklung, Caklempong, Kenong, Gong, Gendang Jawa dan Jidur.

ANGKLUNG


Angklung merupakan sejenis alat muzik yang diperbuat daripada buluh dalam katogori idiofon. Sebuah angklung lazimnya terdiri daripada dua atau empat tabung yang diikat pada rumahnya atau dikenali sebagai 'ancak'. Angklung untuk melodi dilaras dalam jarak diantara satu sama lain. Manakala Angklung pengiring iaitu accompaniment, ianya dilaraskan mengikut kaedah tonic triad iaitu Do, Mi dan So sama ada dalam mode Major ataupun Minor. Proses penalaan Angklung dilakukan dengan cara ketukan di bahagian kakinya ataupun meniup di bahagian bibirnya.

Permainan muzik Angklung sering dipersembahkan secara berkumpulan untuk majlis keraian dan mengiringi tarian kuda kepang serta Barongan. Dalam persembahan Kuda kepang, lazimnya tiga atau empat buah angklung digunakan untuk memainkan mode rithme sebagai pelengkap kepada ensembel yang lain. Tradisi kesenian muzik angklung yang berkembang di Malaysia dipercayai berasal dari Tanah Jawa, Indonesia. Manakala tradisi angklung di Jawa merupakan tradisi daripada alat 'bongkel' yang mula wujud di Banyumas, Indonesia sejak dahulu kala.

Gambar 1: Angklung

BONANG (CAKLEMPONG)


Bonang merupakan sejenis alat muzik bergema (idiophon)yang digunakan dalam persembahan gamelan. Alat ini juga dikenali sebagai keromong iaitu gong-gong kecil yang diletakkan secara mendatar diatas tali dan kotak kayu. Bentuk bonang sama seperti caklempong iaitu berbentuk mangkuk atau kendi kecil yang bercembul. Terdapat sepuluh atau dua belas biji bonang yang diatur dalam dua baris dan diletakkan disetiap kotak kayu masing-masing. Satu baris bonang tersebut mempunyai tangga nada yang tinggi, sementara satu baris bagi tangga nada yang rendah.

Mangkuk bonang diperbuat daripada besi dan perunggu, iaitu campuran tembaga dan timah putih. Bahan ini dilebur dan ditempa mengikut campuran sepuluh bahagian tembaga tulen serta tiga bahagian timah tulen. Besi dan timah dileburkan di dalam bekas berbentuk mengkuk yang diperbuat daripada campuran tanah liat dan sekam padi. Lakaran atau kepingan gangsa yang dihasilkan diketuk menjadi bonang. Alat bonang juga boleh dibentuk daripada kepingan besi dengan cara ketukan sahaja tanpa dilebur.

Bonang dimainkan dengan menggunakan dua pemukul kayu yang dibalut dengan kain merah pada hujungnya. Balutan kaian akan dijadikan pemukul lembut dan tidak merosakkan cembul bonang apabila dipukul. Kedua-dua pemukul ini digunakan oleh seorang pemuzik untuk menghasilkan irama bonang, sama ada dua nada yang serentak atau dua nada bertingkah.

Gambar 2: Bonang

KENONG

Kenong adalah sejenis alat idiophon yang berasal dari Jawa, Indonesia. Kenong mempunyai satu set alat yang menyerupai gong tetapi lebih nipis dan bulat berbanding gong. Kenong diletek diatas dan diikat pada kayu yang diperbuat daripada kayu keras untuk menghasilkan nada merdu setelah diketuk. alat pengetuk kenong terdiri daripada kayu dan tali yang dililit pada bahagian atas kayu tersebut. Kenong dimainkan dengan cara mengetuk sekali setiap not lagu. Peranannya adalah untuk mengeluarkan bunyi yang lebih lembut daripada bunyi dihasilkan oleh gong.Dalam ensembel gamelan Melayu, kenong disertakan dalam satu oktaf yang berlaras pentatonik iaitu skala lima nada tanpa semiton pada jedanya, mempunyai pic yang tetap iaitu fixed-pitch dan diasaskan kepada Western Tempered Pitch. Manakala tradisi gamelan di Johor mengamalkan dua sistem skala iaitu slendro, bermaksud lima nada dan skala pelog yang mempunyai tujuh nada. sistem skala berkenaan adalah diasaskan kepada non-Tempered Pitch dan mempunyai tangga suara yang lebih kecil.

Gambar 3: Kenong Kuda Kepang

GENDANG JAWA


Gendang jawa merupakan sejenis alat muzik yang mempunyai bingkai kayu dan tertutup dengan belululang pada kedua permukaan. Gendang merupakan alat membraphon yang dimainkan secara tabuh. Alat ini digunakan untuk persembahan kuda kepang. Gendang Jawa berbentuk bujur dan panjangnya berukuran tiga kaki dengan saiz kedua-dua permukaan yang berbeza. Kedua-dua permukaan ditutup dengan kulit lembu atau kulit kambing. Gendang Jawa biasanya dimainkan secara duduk, dengan gedombak diletakkan di atas sila. Ia dimainkan dengan memalu secara langsung menggunakan tangan. Gendang adalah alat penting di dalam memimpin rentak bunyian baik rendah ataupun tinggi. Ia dianggap alat yang paling sukar dimainkan, dan memerlukan kemahiran yang tinggi di dalam permainan lantaran tidak mudah untuk diberi notasi.

Gambar 4: Gendang Jawa

GONG


Gong adalah sejenis alat muzik 'idiophone' yang berasal dari Asia Timur Selatan. Dibuat daripada perunggu berbentuk bulat, tepinya melengkong ke bawah, berongga di dalam dan cembul di tengah-tengah bahagian permukaannya. Gong berperanan penting sebagai bunyi tulang belakang dalam ensemble persembahan muzik gamelan. Alat ini terdiri daripada pelbagai saiz untuk menghasilkan bunyi yang berbeza setiap satunya dan dimainkan bersama-sama mengikut rentak lagu. Kebiasannya, 1 atau 2 drum turut dimainkan serentak untuk mempelbagaikan irama muzik yang lebih unik. Gong telah banyak dijumpai di seluruh Malaysia dijadikan sebagai alat utama dalam upacara khas dan persembahan muzik tradisional. Alat ini terjamin berkualiti tinggi kerana cara pembuatannya adalah sukar dan memerlukan kos yang agak tinggi. Gong tempatan mempunyai 'shallow rims' dan 'small boss'. Melodi yang dihasilkan adalah untuk memberi isyarat pada permulaan dan penghabisan sesuatu lagu.

Gambar 5: Gong

SARON PEKIN


Alat ini pula merupakan alat penambahan baru bagi ensemble Gamelan Melayu. Teknik perdam juga diamalkan dalam konteks pemakaiannya dan ianya mempunyai oktaf tertinggi dalam keluarga saron serta mampu menghasilkan suara lantang dan nyaring. Dari segi fizikalnya, saron pekin mempunyai bilah yang berukuran lebih kecil tetapi lebih menebal jika dibandingkan dengan bilah yang ada pada saron penerus. Alat pemukul bagi saron pekin juga berbentuk penukul yang diperbuat daripada tanduk kerbau.

Gambar 6: Saron Pekin

JIDUR


Jidur diperbuat dari batang kelapa berongga dan kedua-dua permukaan berukuran lilit yang sama diditutup dengan kulit lembu atau kulit kambing. Jidur berbentuk tong kecil setinggi anggaran 16 inci. Jidur digunakan untuk persembahan kuda kepang dan dipalu menggunakan dua batang kayu untuk memainkannya.


Gambar 7: Jidur

Score Muzik Kuda Kepang

0 comments:

Post a Comment