HASIL KAJIAN LAPANGAN KUDA KEPANG

SENI MUZIK KUDA KEPANG
KG SEPARAP, BATU PAHAT
14 OGOS 2010.
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Kami merupakan pelajar bagi kursus pengayaan diri, Malaysian Music Traditional. Kami telah memilih tajuk tugasan Kuda Kepang sebagai tajuk untuk dikaji di dalam kursus ini. Oleh hal yang demikian, pada 14 Ogos 2010, kami seramai 4 orang pelajar telah pergi ke Batu Pahat untuk menemubual seorang penggiat seni Kuda Kepang. Pada hari Sabtu, jam 2 petang, kami pergi ke Kampung Separap untuk menemubual En. Madi.

En Madi merupakan seorang penggiat seni Kuda Kepang yang aktif sebelum pengeluaran fatwa pengharaman Kuda Kepang di Johor. Beliau merupakan generasi ketiga dalam salasilah keturunannya yang mewarisi seni Kuda Kepang. Perwarisan ini bermula daripada datuknya Mat Yatim, bapanya Pak Yusuf dan seterusnya En Madi sendiri. Sejak dari kecil lagi, beliau telah terdedah dengan persekitaran seni Kuda Kepang. Namun hanya pada ketika beliau berada di tingkatan 1, bapanya mula membawa En Madi bersama-sama dalam persembahan Kuda Kepang yang diadakan. Menurut En Madi, beliau mungkin merupakan waris terakhir dalam keluarganya yang berkecimpung dan meneruskan seni Tradisi ini. Hal ini kerana yang pertama, anaknya sendiri dilihat kurang berminat untuk meneruskan perwarisan seni ini, tambahan lagi, seni Kuda Kepang telah diharamkan kegiatannya.

Hasil temuramah kami kepada En Madi, beberapa maklumat telah dikenalpasti hasil daripada persoalan-persoalan yang diutarakan. Antara persoalan itu seperti:-

Sejarah Kuda Kepang, bilangan pemain, bila dimainkan, alat muzik yang digunakan, cara persembahan Kuda Kepang, perbezaan Kuda Kepang dahulu dengan sekarang, pengalaman En Madi, serta pandangan terhadap pengharaman kuda kepang.

Dikatakan bahawa Seni Kuda Kepang merupakan kesenian Jawa. Ia berasal dari kawasan Jawa Tengah. Oleh hal yang demikian Kuda Kepang di Malaysia dipengaruhi oleh seni Jawa. Namun kuda kepang yang dimainkan di Malaysia tidak sepenuhnya mengikuti kuda kepang Jawa. Menurut En Madi, kuda kepang yang dimainkannya hanya mengambil beberapa ciri yang dirasakan sesuai dengan budaya Malaysia dan peralatan yang digunakan tidak sebanyak permainan kuda kepang yang sebenar di Jawa. Kumpulan kuda kepang En Madi kebiasaannya dimainkan semasa menyambut kemerdekaan, acara kenduri kahwin pada waktu malam, dan juga semasa majlis-majlis seperti menyambut menteri serta apabila mendapat jemputan persembahan dari pihak luar.

Latihan bagi kumpulan Kuda Kepang En Madi diadakan sekali pada setiap minggu dengan kehadiran anak buahnya, Ia diadakan di kawasan padang bersebelahan dengan rumahnya. Setelah pengharaman Kuda Kepang, tiada lagi latihan dijalankan dan dapat dilihat kawasan latihan itu terbiar dan bersemak. Tambahan lagi, pengharaman ini juga menurut En Madi memberi kesan kepada golongan muda kampung yang bergiat aktif dalam Kuda Kepang. Kesan pengharaman ini memperlihatkan anak muda ini hilang arah tuju dan mula melepak kerana tiada lagi aktiviti bermoral untuk dilakukan pada masa lapang.

Menurut penerangan En Madi, di dalam permainan kuda kepang terdapat 9 kuda kepang yang terlibat. Setiap kuda ini mempunyai watak dan peranan tersendiri berdasarkan warna pada badan kuda kepang itu. Contohnya Kuda Kepang yang berwarna hitam merupakan ketua kepada Kuda Kepang yang lain dan akan bertindak memberi arahan menggunakan tali pecut. Struktur badan kuda ini diperbuat daripada kulit lembu. Tetapi jika dilihat dari sejarah, kuda kepang di perbuat dari buluh, tetapi disebabkan strukturnya yang mudah rosak, En Madi telah membuat kuda kepangnya dari kulit lembu. Manakala tali pecut pula diperbuat daripada tali biasa. Tali pecut ini mampu untuk menghasilkan bunyi yang sangat kuat seperti bunyi mercun. Kekuatan bunyi ini adalah bergantung kepada kaedah tali pecut itu dipukul. Tali pecut ini adalah sangat penting dalam permainan Kuda Kepang kerana ia bertindak untuk mengarahkan pergerakan kuda kepang yang lain semasa persembahan.

Instrumen atau alat muzik yang digunakan oleh kumpulan Kuda Kepang En Madi adalah seperti gendang jawa, gong, kenong Kuda Kepang, angklung dan saron. Menurut En Madi tidak ada pantang larang dalam penggunaan alatan muzik ini samada tidak boleh dilangkah dan sebagainya. Semasa proses temubual ini, kami sempat melihat dan merakam En Madi bermain alat muzik seperti gendang jawa. Sebagai ketua, setiap alatan muzik ini boleh dimainkannya dengan baik. Selain itu, pemain alat muzik ini bermain mengikut rentak permainan Kuda Kepang. Jika pemain bergerak laju, maka muzik iringan itu juga akan laju dan begitulah sebaliknya.

Apabila diutarakan persoalan wujudkah upacara ritual di dalam Kuda Kepang, jawapan En Madi adalah tidak. Beliau menafikan wujudnya bacaan-bacaan mantera semasa permainan, samada semasa buka gelanggang, semasa persembahan atau penutup permainan. Beliau menyatakan hanya mengamalkan ayat-ayat suci Al-Quran sahaja di dalam permainan Kuda Kepangnya. Menggunakan analogi, apabila kita hendak membuat sesuatu majlis pasti ada bacaan doa selamat, dan begitu jugalah di dalam Kuda Kepangnya. Penafian ini adalah berbeza dengan pandangan atau pendapat umum yang sebenarnya Kuda Kepang adalah antara seni tradisi masyarakat Malaysia yang melibatkan unsur-unsur anamisme di dalamya seperti pemujaan roh dan sebagainya. Jika tidak, di mana logiknya pengeluaran fatwa pengharaman Kuda Kepang itu. Lihat sahaja setiap persembahan Kuda Kepang, pasti akan ada pemainnya yang naik "syeh" dan melakukan aksi-aksi yang di luar kawalan sehinggakan memerlukan bomoh untuk mengubat dan mengembalikannya ke alam realiti. Di dalam persoalan ini, En Madi menyatakan pemain naik syeh kerana mereka terlalu asyik yakni terlalu menghayati muzik gamelan yang mengiringi Kuda Kepang. Di dalam Kuda Kepang En Madi tidak menggunakan sebarang unsur khurafat seperti penggunaan kemenyan dan bacaan mantera. Menurutnya, Kuda Kepang yang dipeloporinya hanya atas dasar kesenian dan tiada kena mengena dengan keagamaan. Menurutnya lagi setiap kumpulan Kuda Kepang di Malaysia menggerakkan permainan Kuda Kepang mereka dengan cara yang berbeza. Jadi boleh dilihat ada permainan Kuda Kepang yang menonjolkan ciri-ciri ritual itu yang berunsur khurafat. En Madi juga menyatakan tidak wujud sebarang pantang larang di dalam permainan kuda kepangnya. Hanya, beliau menyatakan kemusykilan apabila setiap rakaman atau tangkapan gambar yang diambil ketika persembahan Kuda Kepangnya kebiasaannya tidak menjadi. Gambar yang terhasil mungkin memperlihatkan samada tiada kepala, tiada kaki dan kadangkala tiada gambar dan hanya berwarna putih. Hal ini berlaku sejak lama dahulu. Jadi sebelum proses rakaman temubual kami, En Madi telah membawa kamera ahli kumpulan kami ke dalam rumah untuk "dilakukan" sesuatu ke atasnya bertujuan supaya hasil rakaman itu menjadi. Apa yang dilakukannya tidaklah diketahui oleh kami, namun apabila rakan kami mendapatkan semula kameranya, kamera itu seperti telah diletakkan minyak kerana ia berbau minyak atar.

Semasa proses temubual berlangsung, En Madi telah menunjukkan kepada kami sebuah topeng yang telah berusia lebih seratus tahun. Ia merupakan tinggalan warisan salasilah keturunan En Madi. Topeng tersebut diperbuat daripada kayu dan boleh dilihat sesetengah bahagian topeng itu yang telah mereput. Fungsi topeng ini iaitu, pemain akan muncul dengan topeng ini di penghujung persembahan Kuda Kepang sebagai selingan persembahan. Kami juga bertanya apakah perbezaan antara Kuda kepang dengan Barongan. En Madi membezakan ia dengan bilangan Kuda Kepang yang digunakan. Barongan hanya menggunakan 2 Kuda kepang sahaja.

Ditanya berkenaan pengalaman pahit manis sepanjang berkecimpung di dalam seni Kuda Kepang ini, En Madi hanya tersenyum memperlihatkan terlalu banyak hal yang dilalui. Katanya ada yang manis, ada yang pahit, dan semuanya adalah sangat berharga. Sebagai ketua dalam kumpulan Kuda Kepang di kampungnya, beliau bertanggungjawab pada pergerakan aktiviti Kuda Kepangnya. Contohnya semasa latihan atau persembahan diadakan, pastinya ada pemain yang akan naik seh. Di sini dilihat peranan En Madi dalam menyembuhkan anak buahnya dengan bacaan ayat suci Al-Quran.

Mengenai pandangan En Madi terhadap pengharaman kuda kepang, pastinya beliau berasa sangat kecewa. En Madi telah berusaha berjumpa dengan wakil-wakil rakyat serta pihak-pihak tertentu seperti Y.B Dato Noraini berhubung pengharaman ini, namun tiada respon atau tindak balas positif. Menurutnya lagi, apabila fatwa telah dikeluarkan, tidak ada sebarang kompromi ke atasnya kerana ia melibatkan akidah. Pengharaman ini disebabkan oleh seni Kuda Kepang dilihat dan telah diteliti sebagai sesuatu yang berunsurkan pemujaan dan sihir serta boleh memesongkan akidah umat Islam yang terlibat dengannya. Bagi En Madi, ia merupakan satu kerugian ke atas penggiat seni sepertinya yang tidak langsung melibatkan unsur-unsur khurafat di dalam permainan Kuda kepangnya. En Madi sangat mengharapkan Seni Kuda Kepang diberi peluang sebagai satu bentuk kesenian dan diletakkan garis panduan atau prasyarat apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan di dalam Kuda kepang agar tidak wujud unsur-unsur pemesongan akidah di dalamnya. Begitu besar harapan En Madi dalam memartabatkan warisan seni tradisi masyarakat.

Secara lisannya, terlalu banyak yang dikongsikan oleh En Madi dengan kami berkenaan Kuda Kepang. Kerjasama dan pemberian pengetahuan baru yang diberikan oleh En Madi sangat kami hargai dan ucapan terima kasih didahulukan. Sebagai seseorang yang baru dalam ruang lingkup Muzik Tradisional, kami melihat En Madi sebagai seorang yang sangat komited dalam menggiatkan serta menghidupkan seni Kuda Kepang.

Akhir sekali, coretan ini adalah antara yang kami ingin kongsikan hasil dapatan daripada kajian lapangan yang dilakukan. Diharapkan perkongsian maklumat dan pengalaman ini memberi manfaat kepada kita semua. Muzik itu akan menjadi universal apabila kita mempunyai pengetahuan tentangnya. Hargailah warisan seni bangsa kita kerana ia identiti kita.

Wassalam.

0 comments:

Post a Comment